Rezeki itu satu kesyukuran, maka berkongsilah ia sesama kamu.

Semalam selepas pick up isteri saya dari kerja, kami terus ke kedai makan untuk makan malam. sampai di sana, saya nampak ayam golek di luar restoran. Jadi saya mengambil keputusan untuk beli ayam golek tersebut untuk di makan di restoran tu. Kami order nasi kosong, sup tomyam, sambal belacan dan air untuk dimakan bersama ayam golek tadi.

Alhamdulillah, apa yang saya makan tadi dapat mengenyangkan perut kami berdua untuk hari tu. Lepas habis makan, saya terpandang pada kelibat 2 beranak di belakang sebelah kanan isteri saya. Seorang ayah dan juga anak. Mereka baru sampai ke restoran tersebut. Si ayah berpakaian sedikit tidak bersih (saya anggarkan dia baru pulang dari kerja) begitu juga dengan keadaan anaknya. Mereka ke restoran tersebut dengan hanya berbasikal.

Maka duduklah 2 beranak tersebut di satu sudut untuk memesan makanan. Sungguh sayu saya memerhatikan keadaan mereka. Yang membuatkan saya menjadi lagi sedih apabila anaknya bertanyakan sesuatu kepada ayahnya sebelum mengambil order, lalu mengangguk paham dan kemudian ayahnya pula bertanya kepada pelayan tersebut, “Bang, nasi goreng kampung berapa 1 pinggan?” Kemudian waiter tu pun bergegas ke bahagian kaunter sambil menjerit, “Kak! nasi goreng kampung berapa dah satu?” “Tiga ringgit!” akak tu menyahut.

Berdetup sekejap jantung saya melihat suasana tersebut. Melihatkan sorang ayah yang mahu memberikan anaknya makan setelah mereka penat bekerja seharian di luar (dari pengamatan saya, mereka ni bukan orang yang bekerja tetap, sebaliknya seperti yang bekerja menjadi suruhan orang yang mengambil upah harian).

Rasa sedih, pilu dan saya sekejap hati saya. Lantas kami beredar dari restoran tersebut… Tetapi di dalam kereta fikiran saya masih berlegar-legar dan berasa bersalah. “Kenapa tidak kuhulurkan sekeping 2 note RM10 diberikan kepada kaunter untuk membayar makanan mereka tadi? Aiseh…”

Sampai sekarang saya masih lagi dibelenggu rasa tidak senang hati.. sepatutnya rezeki yang saya dapat ni, sedikit sebanyak boleh dikongsikan dengan orang yang memerlukan pada masa diperlukan!

Pengajarannya di sini:

1) Setiap rezeki yang kita perolehi, walupun sedikit, maka bersyukurlah. Kerana masih ramai lagi di antara kita yang masih memerlukan, tetapi mereka tetap bersyukur.

2) Bersedekahlah untuk membersihkan harta kamu. Alhamdulillah, sejak saya mengamalkan bersedekah kepada masjid dan fakir miskin, saya dapat rasakan kelancaran memperolehi rezeki dan ketenangan hati.

3) Jangan kedek! sentiasa ringankan tangan anda menghulurkan bantuan bilamana diperlukan pada masa yang diperlukan. :)

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.